|
Sebelum Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK) diwartakan pada 31 Disember 2005 danĀ dikuatkuasa pada 1 Mac 2006, hanya terdapat Akta Benda Purba, 1976 (Akta 168) yang digunapakai bagi perlindungan dan pemeliharaan warisan Negara berkaitan barang purba, monumen, dan tinggalan kebudayaan. Akta Treasure Trove Act, 1957(Act 542) pula adalah berkaitan jumpaan harta karun tetapi pelaksanaannya terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.
Pada Sesi Parlimen Januari 2005, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan pemeliharaan warisan di dalam Senarai Bersama (Concurrent List), dan menjadikan warisan di bawah bidang kuasa perundangan bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, serta memberi obligasi kepada kedua-dua kerajaan ini dan rakyatnya untuk memelihara, melindungi, memperkembang dan menjaga warisan kebangsaan. Pelaksanaan ini juga adalah sejajar dengan penubuhan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia pada 27 Mac 2004.
Skop dan Konsep
Akta Warisan Kebangsaan meliputi Warisan Budaya (Cultural Heritage) yang dipecahkan kepada warisan ketara (tangible heritage) dan warisan tidak ketara (intangible heritage), Warisan Semula Jadi (Natural Heritage), serta Warisan Budaya Bawah Air (Underwater Cultural Heritage).
Akta ini bersifat saling melengkapi yang memperkukuh tetapi tidak menghapuskan perundangan sedia ada berkaitan warisan termasuk kuasa-kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri, kecuali Akta Benda Purba 1976 (Akta 168) dan Treasure Trove Act 1957 (Act 542).
Akta ini juga dapat memberikan mekanisme baru terutama yang berkaitan dengan pelaksanaan kerja-kerja pemulihan, pemuliharaan dan pemeliharaan, khususnya mengikut piawaian yang digunapakai di seluruh dunia. Selain itu, satu tanda aras akan diwujudkan dan digunapakai dalam mengemaskinikan prosedur-prosedur berkaitan penjagaan warisan Negara.
Pengisytiharan Warisan Kebangsaan
Seksyen 67. Akta Warisan Kebangsaan menyebutkan:
1. Menteri boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengisytiharkan mana-mana tapak warisan, objek warisan, warisan kebudayaan di bawah air yang disenaraikan dalam Daftar atau mana-mana orang yang hidup sebagai suatu Warisan Kebangsaan.
2. Dalam membuat pengisytiharan di bawah subseksyen (1) Menteri boleh menimbangkan -
(a) kepentingan sejarah, hubungan dengan atau perhubungan dengan sejarah Malaysia; (b) ciri-ciri reka bentuk atau estetik; (c) pembaharuan atau pencapaian saintifik atau teknikal; (d) hubungan sosial atau kebudayaan; (e) potensi untuk mendidik, menjelaskan atau menyediakan penyiasatan saintifik lanjut berhubung dengan warisan kebudayaan Malaysia; (f) kepentingan dalam mempamerkan kekayaan, kepelbagaian atau integrasi bentuk yang luar biasa; (g) jarang tidaknya atau keunikan warisan semula jadi, warisan budaya ketara atau tidak ketara atau warisan kebudayaan di bawah air; (h) gambaran bentuk suatu tapak atau objek sebagai sebahagian daripada kelas atau jenis suatu tapak atau objek; dan (i) apa-apa perkara lain yang berkaitan dengan penentuan warisan kebudayaan yang penting.
3. Jika tapak, objek atau warisan kebudayaan di bawah air terletak di atas tanah Negeri, Menteri hendaklah berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri sebelum membuat apa-apa pengisytiharan di bawah subseksyen (1).
4. Jika tapak, objek atau warisan kebudayaan di bawah air terletak di atas tanah beri hakmilik atau dipunyai oleh mana-mana orang selain Kerajaan Persekutuan atau suatu Kerajaan Negeri, pemunya, penjaga atau pemegang amanah tapak itu, objek tidak alih atau warisan kebudayaan di bawah air itu hendaklah diberitahu sekurang-kurangnya tiga puluh hari sebelum tarikh pengisytiharan dicadangkan itu.
5. Jika pengisytiharan di bawah subseksyen (1) melibatkan suatu warisan kebudayaan tidak ketara dan hak cipta masih wujud dalam apa-apa kerja, keizinan pemunya hak cipta itu hendaklah diperoleh sebelum apa-apa pengisytiharan dibuat.
6. Jika pengisytiharan di bawah subseksyen (1) melibatkan orang yang hidup, keizinan orang itu hendaklah diperoleh sebelum apa-apa pengisytiharan dibuat.
7. Suatu salinan perintah hendaklah disampaikan kepada pemunya, penjaga atau pemegang amanah tapak, objek atau warisan kebudayaan di bawah air atau kepada orang yang hidup itu.
8. Mana-mana orang yang membantah pembuatan pengisytiharan di bawah subseksyen (1) boleh mengemukakan bantahan secara bertulis kepada Menteri dalam masa tiga bulan dari tarikh penyiarannya dan boleh memohon kepada Menteri bagi pembatalan perintah itu.
9. Menteri boleh, selepas dinasihati oleh Majlis, membatalkan atau enggan membatalkan perintah itu dan keputusan itu adalah muktamad.
Akta ini bolehlah dimuat-turun di sini ataupun melalui laman web Jabatan Peguam Negara
|